Jumaat, 2 Disember 2016







Makanan Tradisional Kaum Dusun di Sabah


Assalamulaikum w.t.b kepada semua pembaca blog saya. Hari ini, saya mahu kongsi tentang makanan-makanan tradisional bagi suku kaum Dusun di Sabah. Makanan tradisional kaum Dusun ini ada kelainan daripada suku kaum yang lain.

1. Tuhau

Tuhau yang boleh dihidangkan dan banyak  dijual di pekan-pekan.


Batang tuhau

Tuhau adalah salah satu makanan yang wajib bagi kaum Dusun. Tuhau ini mempunyai bau yang sangat kuat seperti serangga dan hanya hidup di kawasan hutan hujan terutamanya di Sabah.Makanan ini seperti jeruk yang sedap dimakan bersama ikan masin, nasi dan lauk-pauk yang lain. Jika sekali kita merasa makanan tuhau ini, yang pastinya ramai yang akan ketagih selepas mencubanya.



2. Pinasaka

Pinasaka Sada

 Makanan ini merupakan sejenis makanan yang mengandungi ikan Basung yang telah ditumis dan dicampur dengan bahan-bahan lain seperti buah Bambangan, takob-akob, kunyit dan garam. Ianya juga sejenis makanan yang tahan lama dan boleh disimpan untuk beberapa hari.Pinasakan enak dimakan bersama nasi yang masih panas atau bersama Ambuyat, sejenis makanan tradisional yang juga terkenal di Sabah


3. Hinava






Hinava

Hinava atau Hinata, atau juga dikenali sebagai Hinava Ginapan, merupakan makanan tradisional yang paling terkenal bagi kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Hinava merupakan nama makanan ini bagi suku kaum Kadazan manakala Hinata pula bagi kaum Dusun. Bahan utamanya adalah isi ikan (biasanya ikan Tenggiri dan ikan Yu) yang dicampurkan bersama bahan-bahan lain seperti biji buah Bambangan, cili merah, halia, bawang merah, limau kapas dan garam. Isi ikan (juga boleh digantikan dengan makanan laut yang lain seperti sotong dan udang) tidak dimasak tetapi dibersihkan dan dicampur dengan cuka atau perahan jus limau.


4. Bosou ( Tonsom )


Bosou Ikan

Bosou yang juga dikenali sebagai Tonsom merupakan sejenis makanan tradisional bagi kaum Kadazan-Dusun yang menyerupai jeruk atau perkasam. Bahan utamanya adalah ikan mentah atau daging yang dicampurkan dengan Buah Pangi. Pangi, atau nama saintifiknya Pangium Edule, adalah sejenis tumbuhan yang tumbuh subur dan banyak didapati di Kepulauan Borneo. Bahan utama tersebut kemudiannya dicampur dengan nasi dan garam. Kadang-kala, bahan tambahan seperti nangka, nenas muda, atau Tuhau turut dicampur bersama sebagai perasa tambahan. Campuran ini akan dimasukkan ke dalam bekas dan dibiarkan antara 5 sehingga 7 hari sebelum dihidangkan. Ianya boleh dimakan bergitu sahaja atau dimakan bersama nasi yang masih panas dan lauk-pauk lain.


5. Nasi Linopot


Nasi Linopot

Nasi Linopot atau Nasi Daun Tarap merupakan sejenis makanan tradisional kaum Kadazan-Dusun yang menggunakan daun Tarap (juga dikenali sebagai daun Timadang) untuk membungkus nasi yang telah masak. Nasi tersebut kadang-kala telah dicampur dengan keladi, labu manis, ubi kayu atau keledak sebelum di bungkus dengan daun tersebut. Keistimewaan makanan ini ialah nasi yang telah dibungkus akan mempunyai haruman yang enak dan sedap dimakan. Ianya boleh dimakan bersama lauk-pauk seperti ikan dan sayur-sayuran.


6. Sayur Campur
             
                                     Sayur Campur

Sayur Campur

Sayur Campur merupakan sejenis makanan tradisional kaum Dusun. Sayur campur ini sedap dimakan bersama nasi linopot. Bahan-bahan yang digunakan untuk memasak adalah lada putih, daun bawang, bunga kantan, ikan masin, tuhau dan garam serta minyak. 








Tiada ulasan:

Catat Ulasan